Thursday, June 16, 2011

DiUji...

assalamualaikum w.b.r....hari yang penuh dengan ujian!!!! tanda Allah masih mengingati hamba-Nya ini hatta begitu bertimbun kesalahan dan kekhilafan yang telah dilakukan. Kekuatan milik Allah, hanya pada-Nya aku berserah...bukan mudah untuk bekerja dengan orang yang berbeza pendapat, tapi di situlah ada dugaan Allah bagi melihat kebergantungan hambaNya telus & terus pada pencipta, aku pasakkan berbaik sangka pada semua, agar jiwa x merana, hati x terluka & sahabat2 terus ceria dengan keadaan semasa...biarlah hati diguris, yang pasti semuanya sentiasa dalam suasana yg baik serta dalam keredhaan Allah...pernah terlintas di ruangan fikiran ini, alangkah baiknya jika semua hati bersatu & bergerak sejajar demi membawa Islam, bukannya 'kepentingan diri' di hadapan..kadang-kadang kita sering menuding jari pada orang lain, sedangkan kita sendiri x sedar yang diri kita melakukan sesuatu yang lebih teruk dari itu. Kepercayaan dan kethiqahan pada seseorang boleh terhakis hanya dengan sebaris kata-kata yang menampakkan ketidakmatangan & ketidakcerdikkan di hadapan orang ramai. Kononnya 'dia'lah pemimpin terbaik, mungkin itu bagi orang yang begitu taksub pada'nya'...Tapi jika kita tapis menggunakan kewarasan akal, ilmu & garis panduan agama...dengan ayat 'itu', kononnya 'mereka' jauh lebih tinggi kedudukannya dari 'yang lain', menampakkan apakah yang sebenarnya dikejar...? adakah kedudukan? @ keseronokan apabila disanjung ramai? biarlah Allah menjadi juri dalam melabelkan di mana tahap hamba-hambanya ini...pohon dijauhkan diri ini dan shabat2 seperjuangan daripada mewarisi sifat ini... biarlah dicaci, maki...yang penting ingat...'JANJI TAAT SETIA' kita hanya pada Allah & untuk Allah, semoga redha Allah mengiringi setiap langkah insya Allah... MEMBANGUN BERSAMA KEIKHLASAN!!!

Tuesday, June 14, 2011

PeMiKiraN YaNg BerBahAya...

Kelihatan umat Islam di negara ini saban hari semakin mendalam ilmu mereka terhadap agama ini. Sayugia kita bersyukur kepada Allah dan kita usaha lebih lagi, agar semakin ramai di kalangan kita yang faham agamanya. Kesan dari usaha yang tidak mengenal penat dan jerih ulama zaman silam dalam memartabatkan keilmuan Islam, telah menampakkan hasil yang lumayan ketika ini. Apakah perlu kita rasa bersyukur dengan keadaan sebegini? Ya. Sudah tentu.

Implikasinya adalah, timbulnya satu golongan yang menyatakan bahawa mereka adalah golongan pembaharuan atau tajdid. Golongan tajdid ini berusaha untuk memurnikan semula ajaran Islam, amalan umat Islam yang dikotori noda bid'ah dan perbuatan ibadah tiada nas. Sesungguhnya, kedatangan golongan tajdid ini diperlukan. Fungsi mereka sangat penting untuk menjaga kesucian pengamalan di dalam agama ini. Kerana kita akan sering leka dan lalai dalam semangat untuk beribadah sehingga terlupa kepentingan dan kewajipan kita merujuk nas.

Sudah menjadi satu tradisi, apabila perkara baik datang akan ada manusia yang menangguk di air keruh. Mereka mengambil kesempatan atas nama tajdid. Kesucian nama gerakan tajdid dikotori dengan tindak-tanduk golongan pseudo-tajdid (seolah-olah tajdid) ini malah telah memecah belahkan umat ini kepada kelompok yang banyak. Kita lihat kebanyakan golongan pseudo-tajdid ini menggunakan kata bid'ah itu sewenang-wenangnya dan di mana sahaja. Apa sahaja yang tidak menepati citarasa dan kemahuan mereka, akan seboleh-bolehnya dibid'ahkan.

Harus bagi kita mengenali sifat-sifat asas golongan ini bagi mengelakkan kita terjebak di dalam virus membid'ahkan sesama muslim. Kelompok pseudo-tajdid ini amat mudah sekali kita temui di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) khususnya dalam negeri. Mari kita lihat antara sifat-sifat umum yang ada pada penggerak pseudo-tajdid ini:

  1. Tiada asas pengajian al-Quran dan Hadith yang kukuh. Mereka sekadar membaca dan meneliti hujah-hujah para ulama di dalam kitab-kitab yang sudah diterjemahkan. Penggerak pseudo-tajdid ini hanya mengambil makna lafzhi (makna dari segi lafaz) sahaja dalam terjemahan al-Quran dan Hadith, dan terus menggunakannya sebagai hujjah mereka. Bila anda meminta dibawakan nas, mereka akan bawakan nas dalam keadaan yang tidak ilmiah seperti berkata: "Ada Ustaz A berkata...", "Sheikh B di dalam kitab beliau berkata..", "Masa saya belajar dulu, hukumnya begini..."dan lain-lain yang mana tidak ada pembuktian sahih di depan mata akan nas yang dipegang. Mereka hanya berlegar-legar pada makna nas yang mereka hafaz sahaja. Jangan ditanya pada Asbab an-Nuzul ayat atau pun kedudukan rawi hadith. Kerana mereka tidak tahu

  2. Tiada asas pengajian Usul Fiqh yang kukuh. Golongan pseudo-tajdid IPT ini kebanyakannya tiada asas pengajian Usul Fiqh dan kaedah mengeluarkan hukum yang digariskan oleh Fuqaha Islam. Mereka tidak faham apa ertinya Nas Qat'ie, Nasikh Mansukh, Qiyas, Istihsan, Masaalih Mursalah, 'Amal Ahli Madinah, Qaul Sahabah dan lain-lain. Mereka juga tidak faham kaedah yang digunakan oleh Ulama Mazhab yang empat (Shafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi) di dalam meletakkan kedudukan semua yang di atas dalam martabat mengambil nas. Implikasinya, golongan pseudo-tajdid tidak tahu kenapa Imam as-Shafie menyatakan bahawa Bismillah adalah ayat pertama surah al-Fatihah sedangkan gurunya Imam Malik menyatakan Bismillah bukan ayat pertama al-Fatihah.

  3. 'Ilmu' melebihi Mufti dan Ulama. Kehebatan 'ilmu' agama yang ada pada mereka kelihatan pada zahirnya melebihi ulama yang ada. Apa tidaknya? Siapakah yang berani mengatakan bahawa Mufti salah? Siapa pula yang berani menyatakan pandangan ulama silap? Hanya golongan pseudo-tajdid sahaja yang berani menyatakan dengan terangan bahawa mufti itu dan mufti ini salah mengeluarkan fatwa. Malah golongan pseudo-tajdid IPT ini berani juga membawakan nas mereka untuk menguatkan pendapat bahawa fatwa mufti dan ulama itu salah. Bukankah lebih hebat namanya tu?

  4. Mengikut kawan. Atau lebih senang, mereka bermazhab Ik-Wan (Ikut kaWan). Apa sahaja yang kawan seperjuangan mereka katakan, akan diiakan oleh mereka. Malah ada pula yang mengambil pandangan temannya itu sebagai hukum. Kalau si A katakan hukum berzikir dan doa selepas solat itu bid'ah, maka teman seperjuangannya pula akan berkata "Menurut A, hukumnya bid'ah! Masuk neraka"

  5. Tidak menerima hujjah dan nas orang lain. Hal ini sebenarnya berlaku kesan daripada tidak mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang al-Quran, Hadith dan Usul Fiqh. Kerana tidak tahu status hadith sahih, mutawatir dan sebagainya, mereka sukar untuk terima hadith lain yang kelihatan bertentangan dengan nas pegangan mereka. Hal ini tidak menghairankan, kerana apabila kita sudah sebati dengan suatu benda, hinggakan kita tidak ambil peduli perkara lain, memang sukar untuk kita ubah pendirian kita terhadap perkara baru yang dibawakan kepada kita.

  6. Tiada mengikut mazhab. Ciri ini kadangkala sukar dimengertikan. Walau pun tidak saya katakan 100% golongan pseudo-tajdid ini tidak bermazhab, tapi ada di kalangan mereka ini tidak berpegang kepada mazhab fiqh khususnya mazhab yang empat. Bagi mereka cukuplah menurut hadith dan al-Quran sebagai ikutan. Takut timbulnya rasa taksub kepada Imam mazhab. Mereka lupa agaknya, bahawa semua Imam mazhab juga mengambil hukum dari al-Quran dan Hadith. Ya. Betul. Kalau kita mengikut al-Quran dan Hadith 100%, kita adalah golongan Ahlussunnah wal Jama'ah yang dijanjikan Syurga. InsyaAllah. Tetapi jangan lupa kepada satu perkara beza antara Imam mazhab dan penggerak kita adalah: IMAM MAZHAB BERMARTABAT MUJTAHID, DAN KITA BERMARTABAT ORANG AWAM. Apakah sama pandangan seorang Mujtahid dalam menilai hadith dengan pandangan orang awam seperti kita?

  7. Salah cara berda'wah. Cara golongan pseudo-tajdid ini dalam berda'wah adalah sangat keras. Malah boleh menyebabkan pertelingkahan dan pergaduhan. Mereka seolah-olah tidak mengamalkan konsep da'wah Rasulullah s.a.w yang menyemai kasih sayang dan lemah lembut dalam seruan. Pseudo-tajdid ini lebih kepada menghukum. Mereka lupa bahawa da'ie itu adalah ibarat seperti seorang posmen yang menyampaikan surat kepada manusia. Jangan dimarah manusia yang membuang surat tadi, tapi sampaikan sahaja dengan baik. Jika anda bertemu dengan mereka yang selalu berkata: "Ah.. apa yang kau buat ni bid'ah.. semua bid'ah itu sesat.. dan sesat itu hukumnya neraka.. kau nak masuk neraka ke?" atau lebih kurang ayatnya sebegitu, berhati-hatilah kerana anda mungkin berhadapan dengan golongan pseudo-tajdid.

  8. 'Lakum dinukum wa liyadin'. Sikap bagi aku agama aku dan bagi engkau agama engkau akan terserlah apabila mereka berdepan dengan penggerak tajdid yang ikhlas dan benar serta mereka yang benar-benar faham erti tajdid dan hukum yang benar. Sikap pengecut ini timbul apabila mereka gagal mempertahankan hujjah mereka akibat dari sikap sombong diri dan cetek ilmu mereka sendiri. Bila sudah sampai kepada satu tahap, di mana mereka rasakan mereka sudah tiada modal lagi, mereka akan berlalu pergi dengan mengatakan: "Lakum dinukum wa liyadin.."

Sahabat sekelian.

Inilah apa yang dapat saya simpulkan dari pemerhatian saya sendiri terhadap gerakan tajdid yang melanda IPT Malaysia sekarang. Saya menyokong penuh gerakan memurnikan Islam di kalangan pemuda dan pemudi di IPT. Kerana mudah-mudahan apabila tunjang negara ini kita bentuk dengan acuan Islam yang sebenarnya, mereka akan keluar kepada masyarakat sebagai role-model yang akan membentuk masyarakat sejahtera dan negara gemilang pula.

Cuma saya bimbang, gerakan pseudo-tajdid yang turut menular, telah menyebabkan kemurnian niat dan tindakan golongan tajdid yang hakiki dipesongkan. Hari ini, jika ditanya kepada muda-mudi pelajar IPT, siapakah golongan tajdid? Mereka sudah pasti menjawab: "Diorang yang selalu cakap buat itu ini bid'ah, masuk neraka dan sebagainya.."

Lihatlah betapa liciknya gerakan pseudo-tajdid ini hinggakan penyamaran mereka berjaya. Umat Islam bingung, apakah gerakan tajdid itu gerakan yang baik atau gerakan memporak-perandakan muslimin? Apakah tujuan utama tajdid itu adalah untuk membid'ahkan semua amalan yang dibuat selama ratusan tahun itu?

Kita terima siapa sahaja untuk memurnikan umat Islam. Tetapi kita tidak boleh terima gerakan pemurnian yang menghancurkan kekuatan umat ini. Jika tidak ada tasamuh dan tolak ansur, amat sukar untuk perkara khilafiah dibahaskan. Kerana masing-masing dengan kekerasan di dalam kepala sendiri.
---

Ditulis oleh Putera Aiman