Seringkali dingin pagi menusuk ke tulang-belulang Balqis tatkala
qiamullail didirikan, menjadikan dia terasa nikmatnya ciptaan Tuhan Yang Maha
Agung. Arus air sungai di belakang rumahnya tidak henti-henti berzikir setiap
saat, menyegarkan tubuhnya yang kadang kala hampir terlelap. Bisikan zikir air
yang menitis di atas batu seringkali menjadi penemannya di kala sunyi
menunaikan qiamullail sendirian. Saat itu juga hatinya terasa dekat dengan Sang
Pencipta. Itulah idaman hatinya dalam mencapai redha Ilahi, ingin merasakan
tidak ada pendamping yang lain melainkan Pemilik kepada sekalian pendamping.
Kadang kala hatinya turut mengadu keletihan menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan Allah padanya, terasa terlalu berat di punak bahunya untuk terus memikul taklifan tersebut. Bukan mudah baginya untuk menjalankan amanah sebagai Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar di sebuah universiti yang pelajarnya terdiri daripada berbilang agama dan bangsa, baik pelajar mahupun pensyarahnya. Untuk mewarnai universiti dengan warna yang disyariatkan agama Islam pada sekalian alam amatlah sukar. Namun, hati kecil Balqis seringkali ditasji’kan dengan ayat ke tujuh surah Muhammad, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. Ayat itulah sentiasa menjadi penguat serta penemannya dalam mengharungi hari-hari yang penuh berliku. Kekuatannya juga digandakan lagi oleh Allah apabila bersama sahabat-sahabatnya secara berjemaah menjadikan kerjanya yang semakin berat, terasa ringan dilaksanakan.
“Ya Allah, sesungguhnya diri ini terlalu lemah dan tak layak untuk terus memikul amanah untuk menjulang agamamu kerana aku adalah hamba yang terlalu hina, terlalu lemah diriku ini jika dibandingkan para mujahidin yang bermati-matian memperjuangkan agamamu, tapi aku teringin berjumpa denganMu dalam keadaan Engkau meredhaiku dan aku meredhaiMu Ya Rabb, pinjamkan aku kekuatan-kekuatan yang telah Engkau pinjamkan pada kekasih-kekasihMu Ya Allah. Bantulah aku untuk terus tegar di atas jalan ini. Janganlah keletihan menjadi penghalang untuk aku terus diam membisu dalam melaksanakan gerakerja Islam. Kuatkanlah aku dengan kekuatan milikMu.”
Bersambung...