Sudah 2 tahun lebih lamanya Blog ini bersarang tanpa sebarang nukilan dan perkongsian bersama rakan-rakan pena dan sahabat maya. Salam hormat dan sejahtera dari saya buat sahabat sekalian.
Hari ini saya kembali terpanggil untuk menulis semula sekadar mencari ruangan untuk perkongsian bagi setiap perkara yang saya rasakan bermanfaat untuk sama-sama berkongsi, sebagai ruang untuk saya mencari serta memperbetulkan corak fikir dalam sesuatu perkara juga sebagai wadah untuk saya kembali mengasah kemampuan yang sedikit dalam dunia penulisan ini. Walaupun mungkin era ini Blog sudah tidak 'sepanas' dahulu ketika ia begitu popular, namun bagi saya cukuplah ia menjadi ruangan bagi sesetengah orang yang masih memanfaatkannya, dan semoga ia turut menjadi ruangan ilmu yang bermanfaat walaupun sesudah ketiadaan pemiliknya ini kelak.
Sepanjang 2 tahun tanpa sebarang update di sini, pelbagai perkara dalam kehidupan saya telah berlalu. Syukur Alhamdulillah, rezeki Allah masih mencurah-curah walaupun sebenarnya terasa amat kerdil dan hina dengan kesungguhan dalam beribadah yang masih terlalu lemah, dan pelbagai ujian dunia yang tidak mampu ditangkis menjadikan hidup semakin lalai dan leka saat ini. Semoga Allah memandu ke arah jalan yang lurus dalam usaha mendekatinya. Ampunilah aku ya Allah... :'(
Malam ini saya kembali mencari spirit yang telah lama terkubur dalam 'membangunkan' diri setelah tamat pengajian di Universiti Malaya beberapa bulan yang lalu. RUDY HABIBIE... sebuah cerita yang mungkin punyai pelbagai inspirasi dari pelbagai sudut masyarakat yang menontonnya.
Saya mengambil dari sudut pandang:
1. Kesungguhan seorang insan berusaha menabur bakti dan manfaat buat manusia yang lain walaupun dirinya juga hanyalah manusia biasa yang tidak punya sebarang kekuatan lain melainkan akal fikiran dan kekuatan jiwa yang dipinjamkan oleh ALLAH S.W.T.
2. Melalui kekuatan hubungan dengan Allah yang memiliki segala-galanya menjadikan kita kuat dan terbantu dalam menempuh onak duri dalam melakukan sebarang kebaikan di dunia yang menjadi bekalan di akhirat kelak.
3. Rudy mungkin seorang anak yang dianugerahi akal yang sangat pintar dan genius, namun kita manusia yang lainnya pasti punya kelebihan masing-masing yang Allah telah pinjamkan untuk kita kongsikan bersama umat manusia yang lain. Jadi, seharusnya kekuatan yang kita punya itu disalurkan ke jalan yang terbaik dan jangan pernah bandingkan setiap kelebihan kita dengan manusia lain kerana ia akan mendatangkan kekurangan keyakinan diri, malah jadilah kita sebagai umat yang saling menerima serta melengkapi satu sama lain dalam setiap kelebihan dan kekurangan yang dimiliki itu.
4. Hidup benar dikatakan orang untuk bahagia, tetapi dalam mengejar bahagia diri sendiri tidak semestinya semuanya harus dikecapi kerana kadang-kadang ia perlu dikorbankan untuk sebuah kebahagiaan yang jauh lebih besar dan utama dalam kehidupan. Yang utama, matlamat dalam hidup harus digazetkan supaya 'gangguan' yang hadir sebagai duri di pertengahan jalan tidak menjadi penghalang utama untuk mengecapinya.
5. Bimbingan keluarga sejak kecil amat memainkan peranan terpenting dalam membentuk serta membina generasi masa hadapan yang amat berguna buat agama dan masa hadapan dunia. Kerana dunia hari ini turut menghampiri pengakhirannya, maka dalam membina generasi hari ini samalah jua seperti membina generasi yang bersedia menghadapi pengakhiran dunia yang memerlukan pejuang-pejuang agama dalam menegakkannya.
Semoga ia turut menginspirasikan masyarakat yang lain jua dari pelbagai sisi pandang yang lain.
#SalamBedahFilem
#RudyHabibie