Sememangnya kuakui amatlah memerlukan pengalaman orang tua dalam mendidik anak-anak muda hari ini supaya tidak tersasar daripada landasan kehidupan yang sebenar. Ia amat penting dan perlu dititikberatkan kerana era ini sudah bercampur pelbagai corak doktrinisasi Barat yang merosakkan pemikiran masyarakat. Namun tidak dinafikan dalam proses didikan kadang kala perlu diberikan ruang buat anak-anak muda menilai dan belajar kesakitan jatuh bangun dalam kegagalan mereka di pertengahan jalan.
Namun, hari ini kulihat terdapat kelompok yang bukan seusia ayah-ayah mahupun atuk-atuk yang tidak faham dalam prinsip mendidik si anak, tetapi abang-abang atau kakak-kakak ataupun gelaran si ibu bapa muda yang dilihat begitu "taksub" menagih 'wala' sedangkan 'wala' itu tidak perlu ditagih kerna ia pasti akan datang bersama hadirnya rasa kasih sayang dan ketaatan. Senjata 'wala' ini menambat kaki si anak muda untuk bertindak dan bergerak pada fikiran mereka, malah menimbulkan rasa terikat dan kongkongan yang teramat sangat. Jika paksaan atau kekerasan sebegini menjadi senjata sudah pasti kebencian dan salah tanggap yang menjadi jawapannya. Kerana itu, sebuah jemaah yang hakikat perjuangannya benar dan suci menjadi jauh daripada segelintir masyarakat kerana wujud golongan seperti ini yang mencemarkan perjuangan para generasi terdahulu tetapi malangnya mereka merasakan tindakan mereka adalah terbaik dan generasi yang lebih muda dan degil hari inilah punca kerosakan dalam jemaah.
Tidak kurang juga dengan kelompok yang merasakan diri dan fikiran mereka sudah sangat kontemporari dan terkedepan dengan corak fikir yang kritis, kreatif, hebat, dan mantap dalam strategi, politik dan sebagainya. Namun punya rasa "hebat" dan "bangga" dalam jiwa menjadikan 'organisasi' punah dan gegak gempita. Mungkin ada yang menafikannya, namun sebenarnya ia terbukti melalui kata-kata dan tindakan yang nyata. Kerana fikiran yang mengawal emosi dan tindakan seseorang manusia, walaupun diyakini mungkin ia sekadar 'lakonan' namun sebenarnya tindakan tanpa lisan itu sudah mampu menggambarkan kata yang sebenar terzahir dari aspek kognitifnya. Kelompok ini turut banyak berjasa, namun perlu diingat bahawa ruangan untuk generasi yang lebih muda berfikir dan membuat keputusan juga harus diberikan, tidak perlu semuanya ditunjuk dengan telunjuk kalian yang belum pasti memahami keadaan sebenarnya yang berlaku ketika itu. Kerana tidak semua yang berada di depanmu itu benar dan yang diam membungkam itu salah.
*Malangnya yang amat sedih, kedua-dua kelompok kalian tidak henti-henti mempertikaikan sumbangan dan kerja buat sahabat yang lain:
"Di manakah orang itu dan ini?"
"Kau di mana saat itu dan ini?
"Apakah masih istiqamah orang itu dan ini?"
"Apakah sumbangan yang diberikan oleh orang itu dan ini?"
"Di manakah orang itu dan ini?"
"Kau di mana saat itu dan ini?
"Apakah masih istiqamah orang itu dan ini?"
"Apakah sumbangan yang diberikan oleh orang itu dan ini?"
............................................................................................................................
Jadi, kuncinya hanya satu harus sentiasa diingat bahawa manusia itu sikap dan dirinya unik dan istimewa. Setiap satu individu tidak akan pernah sama atau serupa pada hakikatnya kerana antara mereka pasti punya kelebihan dan kekurangan yang berbeza. Setiap insan punya cara fikir dan pendirian masing-masing. Dan setiap manusia itu punya caranya yang tersendiri dalam mencari jalan baktinya buat umat manusia hari ini serta manjadikan ia bekalan di akhirat kelak. Bukanlah jalan bersama salah 1 daripada kalian sahaja dipanggil pejuang kerana hanya Allah maha tahu di manakah nilai 'pejuang' itu hadir dalam diri setiap hambaNya.
Justeru, sama-samalah kita menabur bakti dalam jalan yang kita sendiri pilih berdasarkan kemampuan dan persekitaran masing-masing. Kerana mungkin itulah aturan Allah yang terbaik buat kita, kerana setiap persimpangan kehidupan itu punya peluang buat hamba-hambaNya mencipta ruang bakti untuk makhlukNya yang lain. Usahlah sedih jika tidak mampu berada dalam mana-mana kelompok yang dilihat meriah dan hebat, kerana barangkali jika kita berada di dalam kelompok tersebut mungkin ikhlasnya kurang, mungkin malasnya bertambah, mungkin sombongnya tinggi, mungkin bodohnya menebal dan mungkin juga tidak akan pernah sebaik kita berada pada kondisi kita sekarang ini.
Dan sesungguhnya hal inilah yang menjadikan manusia itu saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Kurangnya kita dilengkapi mereka, dan kurangnya mereka dilengkapi kita. Justeru, salinglah meraikan dan jauhkan persengketaan.
Setiap manusia itu perlu bersyukur dengan hakikat keberadaannya di mana ketika ini supaya realiti kehidupan sentiasa membawa kebahagiaan dan ketenangan dalam kehidupannya.. Walau di manapun kita, engatlah bahawa aturannya punya hikmah yang teramat manis.. :)
Setiap manusia itu perlu bersyukur dengan hakikat keberadaannya di mana ketika ini supaya realiti kehidupan sentiasa membawa kebahagiaan dan ketenangan dalam kehidupannya.. Walau di manapun kita, engatlah bahawa aturannya punya hikmah yang teramat manis.. :)
BERPIJAKLAH PADA BUMI YANG NYATA!!! Kerna dengan itu, kita mampu mencipta jasa dan bakti yang jelas berdasarkan NYATAnya kita berfikir dan bertindak.
Ayuh Khalifah, Kita sebarkan bakti buat Ummah!!!